Wednesday, June 2, 2010

PERMATA YANG 'HILANG'

HIDUP dikelilingi sahabat-sahabat yang baik adalah satu nikmat. Namun kesibukan membuat saya terpaksa meminggir diri hingga wujud benteng pemisah dengan kawan-kawan lama.

Keadaan hidup dan perjalanan karier membuat ramai kawan lama tercicir dari kehidupan saya. Bukan tidak pernah terkenang saat-saat indah itu tapi bila usia semakin meningkat, kita menjadi lebih matang menyimpan rasa, hinggakan istilah best friend itu bagaikan tidak membawa erti apa-apa lagi.

Dan saya semakin yakin setiap apa yang ditakdirkan terjadi mempunyai hikmahnya sendiri. Kata orang, kawan lama umpama pakaian basahan, yang cukup selesa di badan.

Begitu ramai kenalan yang pernah 'singgah' dalam hidup ini tapi hanya segelintir sahaja yang layak digelar sahabat.

Bagi saya darjat seorang sahabat itu begitu istimewa sekali kerana ia menuntut pengorbanan, kesetiaan dan juga sekeping hati yang mulia untuk memaafkan segala kesalahan.

Memang bertuah kalau kita dianugerahkan sahabat sejati. Bagi saya, makam seorang sahabat bak sebutir permata yang perlu dijaga dengan rapi. Kecuaian dan sikap suka menyendiri membuat saya hilang beberapa permata yang pernah saya simpan selama ini dan itulah antara kesilapan besar saya.

Alangkah bodohnya, bila permata itu hilang satu demi satu, tidak pula saya mencari kerana kononnya pasrah dengan takdir yang telah diatur sedangkan hati ini meruntun setiapkali terkenang.

Dan Tuhan itu sebijak-bijak perancang dan tahu apa yang terbaik untuk hambanya apabila mengirimkan semula satu demi satu permata yang hilang dalam pelbagai cara dan keadaan.

Akhir tahun lalu, saya diketemukan semula dengan Faridah Hitam, seorang sahabat, kakak dan kini teman sekerja. Alangkah manisnya alam pekerjaan saya kini. Senda gurau, hilai ketawa dan tunjuk ajar darinya menjadi hari-hari saya begitu indah sekali. Kini, saya tidak lagi kesunyian kerana wajah itu sentiasa setia menemani saya. Dialah pendorong dan penawar segala kisah duka saya yang tidak berkesudahan.

Pada awal tahun baru, entah kenapa saya rasa kehidupan begitu kosong tanpa usikan nakal sahabat yang bernama PB Zainal. Ketelusan berkawan dengan PB membuat hidup saya dan anak-anak lebih bermakna. Bila dia menjenguk saya beberapa hari lalu, saya hampir menjerit kegembiraan penuh kesyukuran kerana diberikan peluang kedua.

Alangkah indahnya saat-saat seperti itu, andai kata saya masih dapat bersama Kak Ruhani Rahman, Aziz Hamdan, Saodah Ismail, Dalilah, Rafeah, Fauziah Samad dan Farizah.

Pada awal minggu ini pula, di satu pertemuan reunion di Restoran Tupai-tupai yang berlangsung hingga lewat malam, saya diketemukan semula dengan Azizah (Zah), teman lama dari ITM Pahang. Tidur sebantal, makan sepinggan, begitulah eratnya persahabatan kami tapi berpisah juga akhirnya. Pertemuan syahdu itu bagaikan sebuah 'hukuman' yang tidak dirancang.

Detik itu menjadi lebih bermakna kerana disaksikan beberapa pelajar ketika kami sama-sama menjadi warden di Asrama Remaja di ITM Kuantan tahun 1985.

Kenakalan dan keceriaan Sheena, Nik, Sit dan Shake sambil ditemani Halim Mat Som, Magnum dan Normah memang tidak dapat tergambar lagi kerana jarak waktu 25 tahun membuat saya rasa seperti berada di Rumah Orang-orang Tua Seri Kenangan.

Saya terus mencari kerinduan di wajah-wajah itu dan bergelut dengan seribu riak duka kerana kebahagiaan saya pernah diragut sekelip mata.

Daerah usang yang saya tinggalkan bersama memori di Kuantan terus menggamit rindu. Dan ketika menikmati kek carrot cheese yang dibuat Sheena, saya hanya merenung jauh krim putih yang menyaluti kek comel berbentuk empat segi itu.

Bagi saya, krim putih itu simbol keikhlasan Zah, Shake dan Sheena yang tidak jemu mencari saya dan sudi berkongsi kasih dan kebahagiaan yang pernah kami kecapi bersama. Mungkinkah kebahagiaan itu akan diragut kembali?

Yang pasti, wajah-wajah mereka akan terus terakam di dalam hati ini meski waktu akan terus memisahkan kami.

Jangan ditanya kenapa saya tidak mencari semua permata yang hilang itu selama ini kerana saya sudah pun berasa cukup berdosa mensia-siakan kesemua anugerah berharga itu.

3) Badut Itu Bukan Saja Di Sarkis
BADUT di sarkis itu selalu ketawa. Dalam segala geraknya, mimik muka dan warna baju, semuanya garang dan meriah. Pernah saya terfikir kenapa badut terpaksa mengenakan 'prop' begitu untuk buat orang ketawa.

Tak sangka saya akan menemui jawapannya di akhir liku-liku hidup saya. Perjalanan hidup yang tak ubah seperti seorang badut membuat saya terfikir kenapa badut ketawa dalam tangisan. Bersusah payah untuk berpakaian compang camping, wajah pula diconteng-conteng dan kadangkala terpaksa memakai kasut yang begitu besar, hanya untuk menghiburkan orang lain.

Pesona janggal ini pula berjaya mencuit hati orang sekeliling. Sedangkan yang diketawa itu adalah dirinya. Patutlah badut berasa sedih bila bersendirian. Baju badut selalu berwarni warni seperti warna sebuah kehidupan. Dan saya amat kenal dengan warna-warna itu.

Kata arwah mak, saya dilahirkan dengan tali pusat tujuh warna seperti warna pelangi. Bidan yang menyambut saya berfirasat, kononnya saya akan menempuh 7 dugaan besar sebelum menemui kebahagiaan. Dan kebetulan pula saya sudah pun menempuhi enam dugaan. Seperti badut, saya selalu terpaksa 'berpura-pura' dalam menghadapi kerenah orang sekeliling dan ini membuat jiwa saya selalu bergolak.

Kalau hati sayu, di depan orang tidak bolek tunjuk. Nanti orang kata kita tak pandai bergaul. Sedih macam mana, saya perlu nampak biasa-biasa. Tapi bila sudah marah, saya memang tak pandai bersandiwara.

Dan warna-warna emosi perasaan inilah yang selalu membataskan peradaban saya. Alangkah bahagianya kalau saya tidak terikat dengan 'protokol' ini dan tidak perlu berpura-pura untuk menjaga hati sesiapa.

Saya teringat peristiwa makan sushi buat pertama kali di sebuah restoran Jepun di sebuah hotel di Subang Jaya 24 tahun yang lalu sewaktu saya bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi di Pusat Bahasa. Waktu itu saya minta ditukarkan ke Kuantan dan akan berhijrah.

Ketua saya, Puan Fawziah Ghani amat menyayangi saya dan ingin bawa saya makan di restoran yang mahal. Kerana hendak menjaga hati, saya tidak berani membantah bila diajak ke sebuah restoran Jepun walaupun selera saya agak konservatif dan kolot dan tidak pernah menyukai makanan mentah atau apa saja yang oriental.

Tapi sebab tabiat hendak menjaga hati, saya telan saja semua yang dihidangkan di hadapan mata tanpa menolak. Saya telah mengambil wasabi yang pelik rasanya dengan amaun yang banyak. Sayur-sayuran yang dipotong macam budak-budak hendak main masak-masak itu pun saya cuba. Juga ikan mentah yang layak dibagi makan kucing pun saya tidak berjaya menolak ke tepi.

Semuanya saya telan dengan perasaan yang bercampur baur. Marah, sedih dan lucu. Lagi banyak saya telan, bertambah kacau rasanya. Mula-mula saya rasa loya kemudian rasa nak muntah. Berpinar mata menahan segala rasa tak enak yang memualkan. Selesai saja, kami terus beredar pulang ke pejabat. Sampai saja, saya terus ke bilik air dan memuntahkan segala isi perut sampai basah kuyup baju dan lemah seluruh anggota badan.

Malamnya saya macam nak demam, perut saya masih tak enak dan rasa nak menangis kerana telah 'didera' makan makanan Jepun. Tapi bila terkenang betapa naifnya saya waktu itu, saya tersenyum walaupun jauh di sudut hati saya agak sedih kerana membiarkan diri 'didera'. Itulah pengalaman pertama saya jadi badut gara-gara mencuba makanan Jepun.

Dan kini setelah menjadi ibu, saya selalu sembunyikan riak sebenar hati saya pada anak-anak. Saya hanya mahu gembirakan mereka dengan cerita-cerita jenaka tentang kisah kehidupan sekeliling. Melihat wajah riang mereka, sudah cukup membuat saya rasa gembira walaupun bermacam masalah bersarang di otak.

Dan sesekali bila mereka terlihat badut tua ini menangis, wajah mereka akan menjadi redup dan bergenang airmata di kelopak mata. Perasaan bersalah membuat saya lupakan sebentar kisah duka dan teruskan persembahan badut saya di hadapan mereka.

Di celah-celah deraian ketawa penonton, badut di sarkis itu selalunya beraksi seorang. Saya juga begitu.Cuma perlukan prop yang lain....'pena'. Ini saja teman saya yang setia menolong saya melakar satu ilusi yang penuh warna tapi sepi. Dan bila tirai itu dilabuhkan, badut yang memegang pena itu selalu menangis.....

No comments:

Post a Comment