Wednesday, June 2, 2010

MALANGNYA BILA BERHAKIMKAN BERUK!

BUKAN senang membuat keputusan yang adil dan tidak berpihak. Manusia yang sensitif seperti saya begitu cenderung membuat keputusan mengikut emosi kerana hukum akal selalu ditolak tepi dan gerak hati selalu mendahului.

Kadangkala keputusan yang saya buat tidak begitu bijak sehingga kesannya banyak menyentuh hati dan perasaan orang lain. Tapi saya kan manusia biasa. Lihat saja lah sepuluh jari di tangan, kenapa jari manis yang selalu diberi perhatian dihias sebentuk cincin, baik jari kanan, mahupun kiri.

Jarang sekali semua jari diberi perhatian yang sama. Samalah seperti kasih ibu terhadap anak-anak mahupun belaian suami yang berpoligami. Mungkin saya bukan contoh ibu yang baik kerana tidak mampu bersikap sama adil dengan semua anak-anak.

Timbang tara yang dipakai untuk semua anak-anak berbeza-beza. Selalu juga saya membuat keputusan yang kurang bijak, bersikap berat sebelah, menghukum dan tak masuk akal. Kalau dulu, semua anak-anak dilayan dengan tegas, tapi bila tiba giliran anak yang bongsu, Qadeem Shaher, saya banyak mengalah.

Banyak undang-undang yang terpaksa dikendurkan dan saya sendiri menjadi lebih penyabar melayan kerenah anak saya yang berusia 6 tahun itu. Kalau dulu saya tak pernah pun memegang pensil untuk membuat kerja sekolah anak-anak yang lain. Tapi dengan Qadeem, bukan saja saya membuat setiap homeworknya, saya turut mewarnakan sekali kertas lukisannya.

Anak-anak lain tak berani makan di atas katil tapi dengan Qadeem, semua itu dibolehkan. Sehinggakan bila bawang, periuk dan segala barang permainan berkecah satu rumah macam kapal karam, yang dimarah bukan Qadeem tapi kakak dan abang Qadeem. Setiapkali saya 'dibicarakan' oleh anak-anak lain kerana terlalu bagi muka pada Qadeem, saya akan berkata, "mama tak tau sampai bila mama boleh hidup."

Di hati kecil, saya tahu itu cuma satu alasan. Kenyataannya, saya memang seorang ibu yang bias. Menjadi ibu tunggal memberi saya kuasa veto untuk membuat apa saja keputusan tanpa merujuk kepada kuasa yang lebih atas. Saya lah raja, saya lah hakim. Dan di situ lah kelemahan saya kerana walau saya cuba sedaya boleh menjadi ibu, raja dan hakim yang adil, saya masih tak berjaya.

Apa saja pertimbangan, ikut rasionalnya emosi, alamatnya anak-anak lain akan selalu protes dalam diam. Yang berani sikit seperti Lina dan Farhan, akan tulis dalam facebook, meluahkan segala ketidakadilan.
Pernah sekali saya terbaca apa yang ditulis oleh Farhan. "Whenever I think of my mother, I know I'm in trouble." Lina pula lebih vocal. "Hubungan saya dengan mama seperti Amerika dan Palestin. Tolong selamatkan saya." Hati saya jadi tersentuh kerana saya tak pernah terfikir kesan dari tindakan saya seteruk itu. Baru saya tersedar betapa susahnya mak dan ayah cuba berlaku adil kepada kami adik beradik.

Dengan kesusahan liku-liku hidup mak dan ayah yang kais pagi, makan pagi tentu perit untuk memuaskan hati kami adik beradik. Itu pun hampir semua kemahuan diturutkan. Mak kata, kasih ibu pada anaknya, apa yang ada di dalam mulut hendak dibaginya. Kata-kata mak bagai satu azimat.

Kini, setelah saya menjadi ibu dan di sebalik keterbatasan dan kekurangan yang saya ada, hampir semua tuntutan anak-anak, saya cuba tidak hampakan. Saya rasa sangat berdosa 'mengabaikan' anak-anak terutama bila tuntutan kerja memisahkan kami. Waktu makan dan di sebelah malam, perasaan itu menjadi lebih kacau.

Kalaulah ada sedikit keberkatan di tahun baru ini, saya pohon agar laluan untuk bersama anak-anak tercinta akan lebih mudah Saya juga berjanji pada diri sendiri untuk menjadi seorang ibu yang lebih adil.
Terngiang-ngiang di telinga saya bila, setiap kali arwah ayah tak puas hati dengan sesuatu keputusan, dia akan berkata....'beruk dijadikan hakim, macam tu lah.'

Semakin tua, baru saya dapat tangkap makna di sebalik kata-kata ayah itu. Saya takut kalau anak-anak menghukum saya seteruk itu. Beruk memang tak boleh jadi hakim dan tak boleh dapat bunga. Dan saya tak mahu disamakan dengan spesie beruk. Pada kesempatan lembaran baru ini, di atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan dan sebelum anak-anak mula membuat kiasan yang lebih teruk, saya ingin memohon maaf....Maafkan mama sayang!

No comments:

Post a Comment