Wednesday, June 2, 2010

PEDIHNYA KENANGAN DI JALAN TAR!

ENTAH kenapa tarikan di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) begitu kuat hingga saya 'tersesat' di sana beberapa hari yang lepas. Mujurlah anak saya Ayu rajin melayan kerenah saya yang kdg kala tidak masuk akal dan suka ikut gerak hati.

Sebenarnya, saya hanya teringin menyusuri jalan kenangan di tempat-tempat nostalgia yang pernah saya pergi bersama kedua orang tua saya dulu. Dengan alasan yang tidak munasabah kononnya ingin mencari sehelai tudung biji kundang, saya pun sampai lah ke Jalan Masjid India.

Di tengah-tengah hiruk pikuk manusia yang bermacam ragam, saya dapat rasakan kedatangan saya bagai dinanti-nantikan seperti seorang datuk bandar yang ingin melawat kawasan. Kemana saja saya melangkah, ada saja yang menyapa suruh saya masuk ke kedai mereka.

Saya jejaki kedai-kedai yang mengimbau kenangan lama seperti Bilal, Semua House, Restoran Insaf sambil mata tercari-cari 'pacik2' saya yang sudah lama saya tinggalkan.... di P.Lal Store, Globe Silk Store, Doshi dan S A Majeed. Kehilangan mereka amat saya rasai.

Sejurus saya terpandang papan tanda Sarah Hughes@Globe, pandangan saya terus terhenti di situ. Mulalah saya terasa sedikit sentimental. Di situlah saya hampir kehilangan anak sulung saya Mas Ayu, 25 tahun yang lalu, yang dibawa arus lautan manusia pada satu Hari Raya. Ayu, yang ketika itu berusia 4 tahun telah merajuk dan menyorok kerana tidak dibelikan baju yang disukainya.

Entah macam mana dia tersesat hinggalah ke seberang jalan. Hampir 5 jam dia hilang hingga fotonya ditinggalkan di Balai Polis Campbell. Drama sebabak keluarga bermula sebaik ayah dan ibu sampai untuk 'menyiasat' kehilangan Ayu. Hampir puluhan orang di tingkat bawah mendengar 'khutbah' ayah meleteri saya kerana cuai.

Ibu pula seperti Ratu Bollywood menangis dengan nada yang sungguh dan beberapa kali pengsan. Saya pula yang sedang sarat mengandungkan Arif ketika itu hanya terkulat-kulat berdiri sambil menangis dan berdoa agar dielamatkan sicomel saya.

Tuhan Maha Kaya, hampir jam 7 ptg, sebelum Globe ditutup, kami didatangi ayu tanpa setitik airmata memegang air astik berwarna oren dgn empat orang lelaki keturunan indonesia. Rupanya Ayu sesat hingga ke panggung colisuem. Nasib baiklah dia pandai mengingati nama Globe hingga dibawa kembali ke situ.

Sejak peristiwa itu, saya terus 'diban' membawa Ayu seorang diri tanpa ayah atau ibu. Bertambah syahdu bila saya teringat betapa dalamnya kasih yang tersemai hingga sanggup melarang anak membawa keluar anak sendiri.

Kemanalah agaknya gerangan anak sahabat atuk saya di kedai sa majed? 24 tahun yang lalu, setiap kali saya ke tkedai itu, saya akan mendapat discount harga saudara kerana atuknya dan atuk saya, Ghulam Dastagir Ghouse Miah sama-sama datang satu kapal dari India.

Sukar untuk dihuraikan betapa besar ertinya memori smlm utk diabadikan terus dalam hati ini. Belum pun sempat saya mengelamun lebih lama, tiba-tiba seorang kutu rayau cuba mengalih pandangan saya dgn gelagat ala Salman Khan sambil membuka butang baju dan menayang dadanya sambil dua tangannya cuba memberi isyarat suruh jalan.

Kalaulah ada arwah ibu tentu saya sudah ditegur kerana merenung 'Salman Khan' begitu lama. Di lopak-lopak jalan kaki lima yang tidak rata dan batu bata berwarna kusam tersimpan bermcm rahsia dan kenangan silam. Peliknya, saya rasa begitu damai sekali di daerah itu.

Lewat melintasi kedai usang Bilal, 'selera' mula terbuka tapi bukannya kerana lapar. Tapi kerana di situlah byk tersimpul kenangan manis bersama keluarga. Ayah menjamu makan berjemaah di situ sesekali bila dapat gaji.

Kenapa lah agaknya mengimbau kenangan yang lama terlalu manis sekali sedangkan datang dulu pun hanya naik kereta second-hand saja, berhimpit-himpit 4 beradik pula tu dgn air-cond yang tak ada. Panggung Coliseum masih gah berdiri di satu sudut.

Seingat saya, hanya sekali saja kami dibawa ke situ kerana 'Haati Mere Saati' lakonan Rishi Kapoor, hero bibir merah yang gempal dan paling handsome waktu itu. Habis saja menonton, entah siapa telah melempar beberapa bungkus nasi lemak dan plastik ke atas bonet kereta ayah.

Sudahnya, sepanjang jalan kami 'dihidangkan' dengan leteran ulasan teori siapa punya angkara dan bukannya pasal filem itu. Sejak kejadian itu, ayah tidak pernah lagi bawa kami ke panggung wayang.

No comments:

Post a Comment