Tuesday, June 8, 2010

BILA SI LUNCAI MAIN PONDOK-PONDOK

MASA kecil dulu, saya suka sangat main pondok-pondok. Kalau dapat kain selimut atau gebar yang lebar bertambah tinggi lagi imaginasi saya untuk membuat pondok. Selalunya saya hanya bina pondok atau mahligai di dalam kamar kecil saya. Saya ikat bucu kain gebar di tingkap bilik dan selit dua lagi bucu di penjuru almari.

Saya cukup bangga dengan pondok saya. Gebar pula warna putih dan kadangkala warna belang. Entah kenapa, saya tidak pernah bertanya kenapa gebar kami warna putih. Waktu kanak-kanak, apa saja yang tersedia adalah satu rahmat. Kami hanya menerima pemberian mak dan ayah tanpa banyak bertanya. Tidak seperti budak-budak sekarang, banyak pilihan dan kerenah.

Bila pondok sudah siap, adik-adik dan abang sulung akan tumpang tidur sambil mendengar cerita hantu....

Dan tukang ceritanya tentulah saya kerana saya paling suka mereka-reka cerita hantu yang didengar dari kawan-kawan di kelas mengaji. Cerita hantu tetek dan pocong paling diminati kerana ia lucu, seram dan tidak jemu didengar.

Setelah dewasa, saya terkilan kerana tidak dapat memberi pengalaman 'main pondok-pondok' itu kepada anak-anak saya. Mungkin juga mereka kini banyak permainan tidak seperti saya.

Dulu, saya hanya melihat sambil berlalu bila terlihat permainan seperti Monopoly, Scrabbles dan banyak lagi permainan indoor di gedung besar. Seingat saya, hanya satu papan dam dan 'Snake & Ladder' sahaja ada di dalam rumah. Ketika usia meningkat menengah, saya dikenalkan dengan permainan chess. Itu pun secara kebetulan kerana permainan itu diberi oleh teman ibu.

Waktu kanak-kanak saya sedih dalam keindahan kerana kemampuan yang tidak seberapa. Hanya buku-buku 'Enid Blyton' menemani kami adik-beradik. Dan setelah habis buku dibaca, ibu akan bertanya jalan cerita. Kalau puas hati, baru dibelikan yang baru. Setiap buku yang dibeli ibu, wajib dijaga dengan cermat hinggakan nama kami pun tidak dibenarkan ditulis di atas buku. Begitu keras sekali hukuman yang ditetapkan.

Bila sudah dewasa, saya melihat 'main pondok-pondok' dari sudut berbeza. Bagi saya ia satu metafora apabila saya membayangkan kegagalan nakhoda/pemimpin atau pemerintah mengemudi sesuatu persatuan, bahagian atau negara.

Nakhoda ini mungkin tidak sedar betapa teruknya emosi anak-anak kapal yang akan tenggelam kerana kegagalan mereka mengemudi. Menjadi nakhoda bukan setakat 'main pondok-pondok' kerana tanggung jawabnya besar, perlu amanah dan tidak boleh syok sendiri.

'Main pondok-pondok' satu escapism bagi saya. Tak tahulah samada pemimpin-pemimpin ini memegang jawatan sekadar satu 'escapism' juga. Maklumlah, bukan sedikit yang lupa diri bila menyandang jawatan berpengaruh. Ramai yang hanyut, bersikap seperti kaduk naik junjung dan zalim kepada orang-orang bawah.

Tapi bila pemimpin berlagak macam si luncai dan 'main pondok-pondok' pula, bertambah kacau lah. Saya hilang kata-kata untuk membayangkan kemungkinan yang akan berlaku. Hendak biarkan si luncai begitu saja, kesian pula. Tapi rasanya elok dibiarkan saja kerana bila si luncai jatuh dari pondok, yang sakit bukan badan saya.....

Thursday, June 3, 2010

DAN KU TITIPKAN ANAKKU - ARIF, WAWA, ZEERA, ZANA & AIN

ANGGAPLAH warkah ini sebagai amanat seorang ibu. Terlalu sukar untuk seorang ibu mengucapkan selamat tinggal bila disapa pergi. Perpisahan itu amat sakit bagi seorang ibu seperti ibumu ini.

Hendak menyuap sesuap nasi sekalipun terbayang setiap wajah anak-anak. Di mana jua anak-anak ibu berada, salam sayang dan rindu dari kejauhan ini!

"Sudah makankah anak-anakku? Apalah agaknya yang dilakukan kini? Kalau ada yang menyakiti, katakan ibumu akan tetap membela...dan suara ibumu terputus di sini.

Macam-macam kerisauan yang singgah di kepala bila berjauhan dengan anak-anak tercinta. Kalau sudah dianggap anak, naluri ibu ini akan selalu berbisik rindu. Ingin dijengah takut menganggu. Hendak merisik khabar, takut nanti dianggap hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Dan ibu biarkan saja kerinduan itu menjadi teman di hujung usia ini bersama seribu memori semalam.

Ingat semua pesanan ibumu ini. Jangan dilayan nafsu amarah orang, bawa dirimu sebaik mungkin. Anak-anak ibu cerdik dan berhemah. Kalaupun hatimu meluap dengan emosi berbagai, bayangkan saja wajah ibumu ini....insya Allah terlerailah kekusutanmu.

Kepada anak 'emas'ku Arif, jiwamu sekental jiwa ibumu. Ibu bangga dengan ketajaman fikiran dan tulisanmu. Anak ibu memang begitu, hanya satu seperti Arif. Jaga dirimu sayang dan tengok-tengokkan adik-adik yang lain kerana ibu semakin jauh. Semoga tuhan dapat berikan ibu kekuatan untuk menyayangimu dari jauh.

Jolokan anak 'IVF' atau anak niat hanya gurauan buat Zana yang comel. Ibu dengar Zana sudah pandai mengambil hati keluarga baru hingga cukup disenangi di seberang sana. Bangganya tidak terkata. Bila agaknya habis purnama untuk ibu bersua dengan anak ibu yang bernama Nurul Umairah ini.

'Jin Notti' hanya usikan ibu buat anak sulung bernama Wawa. Kemana hilangmu sayang? Sejauh mana Wawa pergi, sejauh itu doa ibu mengiringimu. Dalam hati tetap teringat walau sudah hampir separuh tahun berlalu, ibu tetap cuba menjejaki Wawa. Marah ibu tidak pernah lama. Keletahnya anakku Wawa masih terbayang di mata. Setiap kesilapan itu banyak hikmahnya sayang. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Kalau masih ada ruang dalam hatimu, kirimlah berita walau sepotong ayat. Tetap sayang dan rindu padamu....

Permata ibu yang seorang lagi cukup sempurna di mata....Zeera bagaikan anak kandung. Tidak pernah termimpi mendapat permata yang begitu tinggi nilainya. Hampir sempurna tugas ibu melihat anak yang ku asuh tiga tahun lamanya menjadi sandaran dan harapan. Kemanisan budimu akan senantiasa terpahat di dalam memori ini.

Ain, anak manja ibu yang tiada taranya. Diammu membuat hati ibu terusik kerana ibu tahu banyak yang Ain fikirkan. Tak lama lagi, langkahmu akan berbeza. Alam baru yang akan ditempuhi menjadikan debaran hati seorang ibu tidak keruan. Mampukah anakku mengecapi kebahagiaan yang diimpikan. Ibu senantiasa doakan yang terbaik buatmu.

Dan bila ibumu tidak mampu lagi mendengar segala rintihanmu, menjaga urusan kerjamu serta menyediakan santapan yang biasa ibu sajikan, langkah ibu menjadi semakin pincang.

Tiada lagi deraian ketawa memcah keheningan malam seperti di rumah lama ibu dulu. Kenangan itu menjadikan ibu seperti pengemis rindu. Di hujung perjalanan ini, rindu ini semakin panjang dan hari-hari yang dilalui begitu suram.

Dan atas segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri, ku titipkan anak-anakku denganMu kerana kau tahu yang terbaik untuk kami. Amin.

Wednesday, June 2, 2010

RACAU SANG PENJAJAH II

DI MANA-MANA saja, kalau sudah dinamakan penjajah, tentu kelibat mereka dibenci. Jarang kedengaran penjajah yang baik hati. Kalau ada pun penjajah yang baik, mungkin itu satu kes yang asing dan pelik.

Nama penjajah itu sendiri membawa konotasi negatif. Alangkah malangnya nasib kita kalau terpaksa berhadapan dengan manusia yang ada sifat 'penjajah.' Bukan kerana mereka ada kuasa tetapi sebab mereka rasa mereka berkuasa walaupun kadangkala pangkat mereka tidak tinggi mana pun.

Dalam kehidupan saya yang meningkat senja, saya terpaksa berhadapan dengan ramai 'penjajah'. Yang peliknya, kesemua penjajah itu berbangsa Melayu dan mempunyai sifat yang tidak baik. Kalaulah mereka ini tahu hukuman yang menanti mereka, tentu mereka berfikir 10 kali sebelum menindas, menyimpan hasad dan menjajah.

Setiapkali saya 'dijajah', saya redha dan sebagai manusia biasa, saya tetap berdoa di dalam hati agar mereka-mereka ini diberikan hidayah atau petunjuk jalan pulang. Lebih sadis bila penjajah bersikap baling batu sembunyi tangan atau munafik. Dalam berjanji, mulut mereka begitu manis sekali hinggakan bila pisau terhunus di depan mata, mereka masih mampu tersenyum.

Sakitnya bila terpaksa berhadapan dengan seorang ketua yang dayus dan rakus. Jiwa halobanya tidak pernah puas dengan jawatan yang ada hinggakan setiap saat takut akan bayang-bayang sendiri. Tuhan anugerahkan akal dan bakat tidak sama pada semua. Kalaulah ada insan lain yang lebih berbakat, lebih paras rupanya dan lebih disayangi oleh semua, kenapa itu yang dicemburukan?

Rezeki masing-masing luas terbentang. Ceruk mana sekalipun seandai kita masih bernafas, insya Allah, bahagian kita tetap ada. Walaupun si penjajah menutup periuk nasi dengan fitnah dan onar, kita masih boleh mencari sesuap nasi dan lambat laun akan terbukti semua kebathilan.

Saya hairan kenapa ramai orang kita yang suka hidup bermuka-muka, mengadu domba, tidak ada maruah diri dan sanggup mengambil jalan pintas atas kudrat dan usaha orang lain. Seandai kita berbakat dan tahu harga diri, buktikan kemampuan, jangan dicanang kehebatan diri tetapi sebenarnya hanya tin kosong yang hampir berkarat.

Kilau permata dan intan yang kurang bernilai tidak mungkin sama. Saya paling takut bia sang penjajah menyanyi meracau-racau. Kesannya bukan saja pada diri tapi pada orang sekeliling. Racauan orang yang gila kuasa bukan sedikit timpal balasnya. Bayangkan saja cerita 'Emperor & His New Clothes' yang akhirnya terbogel seorang diri di tengah jalan kerana rakus ingin menunjukkan 'baju barunya' kerana dia berkuasa.

Walaupun kini saya terselamat dari bahang penjajah, episod itu banyak membuat saya sebak. Dan setiap kali, hati tersedik mengenangkan bagaimana saya dianiaya dan dijajah sebegitu rupa hingga tidak sempat membawa 'bekalan' untuk keluar dari rumah sendiri, saya pujuk hati ini dengan menggambarkan maharaja gila seperti dalam cerita 'Emperor & His New Clothes' dan saya tersenyum sendiri...

Cerita-cerita Racau Sang Penjajah tidak mungkin menemui titik nokhtah selagi hati masih rakus untuk berkuasa. Saya tinggalkan episod ini dengan tenang kerana Allah jua yang layak menghukum. Bagi saya, kehebatan Sang Penjajah sehebat Emperor yang berbogel itu!

BADUT ITU BUKAN SAJA DI SARKIS

BADUT di sarkis itu selalu ketawa. Dalam segala geraknya, mimik muka dan warna baju, semuanya garang dan meriah. Pernah saya terfikir kenapa badut terpaksa mengenakan 'prop' begitu untuk buat orang ketawa.

Tak sangka saya akan menemui jawapannya di akhir liku-liku hidup saya. Perjalanan hidup yang tak ubah seperti seorang badut membuat saya terfikir kenapa badut ketawa dalam tangisan. Bersusah payah untuk berpakaian compang camping, wajah pula diconteng-conteng dan kadangkala terpaksa memakai kasut yang begitu besar, hanya untuk menghiburkan orang lain.

Pesona janggal ini pula berjaya mencuit hati orang sekeliling. Sedangkan yang diketawa itu adalah dirinya. Patutlah badut berasa sedih bila bersendirian. Baju badut selalu berwarni warni seperti warna sebuah kehidupan. Dan saya amat kenal dengan warna-warna itu.

Kata arwah mak, saya dilahirkan dengan tali pusat tujuh warna seperti warna pelangi. Bidan yang menyambut saya berfirasat, kononnya saya akan menempuh 7 dugaan besar sebelum menemui kebahagiaan. Dan kebetulan pula saya sudah pun menempuhi enam dugaan. Seperti badut, saya selalu terpaksa 'berpura-pura' dalam menghadapi kerenah orang sekeliling dan ini membuat jiwa saya selalu bergolak.

Kalau hati sayu, di depan orang tidak bolek tunjuk. Nanti orang kata kita tak pandai bergaul. Sedih macam mana, saya perlu nampak biasa-biasa. Tapi bila sudah marah, saya memang tak pandai bersandiwara.

Dan warna-warna emosi perasaan inilah yang selalu membataskan peradaban saya. Alangkah bahagianya kalau saya tidak terikat dengan 'protokol' ini dan tidak perlu berpura-pura untuk menjaga hati sesiapa.

Saya teringat peristiwa makan sushi buat pertama kali di sebuah restoran Jepun di sebuah hotel di Subang Jaya 24 tahun yang lalu sewaktu saya bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi di Pusat Bahasa. Waktu itu saya minta ditukarkan ke Kuantan dan akan berhijrah.

Ketua saya, Puan Fawziah Ghani amat menyayangi saya dan ingin bawa saya makan di restoran yang mahal. Kerana hendak menjaga hati, saya tidak berani membantah bila diajak ke sebuah restoran Jepun walaupun selera saya agak konservatif dan kolot dan tidak pernah menyukai makanan mentah atau apa saja yang oriental.

Tapi sebab tabiat hendak menjaga hati, saya telan saja semua yang dihidangkan di hadapan mata tanpa menolak. Saya telah mengambil wasabi yang pelik rasanya dengan amaun yang banyak. Sayur-sayuran yang dipotong macam budak-budak hendak main masak-masak itu pun saya cuba. Juga ikan mentah yang layak dibagi makan kucing pun saya tidak berjaya menolak ke tepi.

Semuanya saya telan dengan perasaan yang bercampur baur. Marah, sedih dan lucu. Lagi banyak saya telan, bertambah kacau rasanya. Mula-mula saya rasa loya kemudian rasa nak muntah. Berpinar mata menahan segala rasa tak enak yang memualkan. Selesai saja, kami terus beredar pulang ke pejabat. Sampai saja, saya terus ke bilik air dan memuntahkan segala isi perut sampai basah kuyup baju dan lemah seluruh anggota badan.

Malamnya saya macam nak demam, perut saya masih tak enak dan rasa nak menangis kerana telah 'didera' makan makanan Jepun. Tapi bila terkenang betapa naifnya saya waktu itu, saya tersenyum walaupun jauh di sudut hati saya agak sedih kerana membiarkan diri 'didera'. Itulah pengalaman pertama saya jadi badut gara-gara mencuba makanan Jepun.

Dan kini setelah menjadi ibu, saya selalu sembunyikan riak sebenar hati saya pada anak-anak. Saya hanya mahu gembirakan mereka dengan cerita-cerita jenaka tentang kisah kehidupan sekeliling. Melihat wajah riang mereka, sudah cukup membuat saya rasa gembira walaupun bermacam masalah bersarang di otak.

Dan sesekali bila mereka terlihat badut tua ini menangis, wajah mereka akan menjadi redup dan bergenang airmata di kelopak mata. Perasaan bersalah membuat saya lupakan sebentar kisah duka dan teruskan persembahan badut saya di hadapan mereka.

Di celah-celah deraian ketawa penonton, badut di sarkis itu selalunya beraksi seorang. Saya juga begitu.Cuma perlukan prop yang lain....'pena'. Ini saja teman saya yang setia menolong saya melakar satu ilusi yang penuh warna tapi sepi. Dan bila tirai itu dilabuhkan, badut yang memegang pena itu selalu menangis.....

DAGANG SAYA MUSAFIR LALU....

Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu.... bait ini selalu terakam kemas dalam fikiran walaupun maksudnya satu ketika dulu, kurang saya mengerti. Dalamnya ertikata ayat ini hanya disedari selepas saya dihanyut oleh kisah yang hampir serupa.

Rupa-rupanya, kisah antara dua darjat akan sentiasa menjadi rujukan hidup ini walaupun di usia hampir setengah abad. Mulianya sekeping hati bukan sesuatu yang boleh dilafaz di bibir tapi perlu dirasa di dalam hati.

Seboleh mungkin, saya cuba buang dan hakiskan perasaan 'musafir lalu' di mana jua saya berada tapi kerakusan manusia yang hasad dan haloba membuat saya sedar ini adalah satu hakiki.

Bila semakin senja, hati lebih cepat terasa dan hati tua jadi serapuh biskut lemak bila orang lebih muda bersikap kurang hormat pada kita. Tidak perlu berada di rumah seri kenangan untuk merasakan bagaimana hibanya bila kita disisih, dipinggir, diherdik dan dihina. Cukuplah dengan drama harian yang dipentaskan di depan mata.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya menjadi lebih belas bila melihat orang tua-tua. Mungkin juga sebab saya sudah layak berada dalam kategori itu. Kalau dulu istilah Quran buruk kurang bawa erti pada saya, tapi kini tersimpul berbagai maksud.

Kenangan lama itu satu nostalgia yang cukup mahal. Rasa hormat pada orang lama adalah cermin peribadi seseorang. Saya tertarik dengan orang muda yang pandai hormat orang tua. Ayah kata, kalau kita pandai hormat orang tua maknanya, eloklah didikan kedua orang tua dan begitulah sebaliknya.

Bagi saya, kisah si Tanggang atau Malin Kundang menjadi saudagar kaya dan berkahwin dengan anak Raja bukan sekadar dongeng rakyat semata. Cerita itu mengajar kita menyelam hati ibu bernama Deruma kerana dianugerahkan anak seperti si Tanggang. Bila pengorbanan dibalas hinaan dan darjat ibu diletak setaraf sehelai kain buruk dibuat basahan, maka kemurkaan tuhan yang paling layak untuk anak derhaka.

Legasi si Tanggang ada di mana-mana bukan saja di sebuah institusi keluarga malah dalam kehidupan seharian. Saya hairan kenapa orang bersikap bongkak hanya kerana status, kedudukan dan ketinggian darjat. Muliakah kita berpangkat tinggi, memakai jenama serba mahal tapi sanggup perlekehkan orang lebih tua? Jenama mahal tidak mampu mengangkat martabat walau kita berada di status quo paling tinggi sekalipun.

Ibu selalu mengingkat saya dan adik beradik, jangan jadi macam Tanggang. Dan kini, saya pula mengulangi kata-kata hikmat itu pada anak-anak saya. Pernah beberapa kali saya terlihat arwah ibu merembas air mata kerana terlalu kecewa dengan sikap anak-anak.

Waktu-waktu itu paling sukar bagi saya. Saya tidak sanggup dan jadi tak keruan cuba mengambil hati ibu dengan mengemas bilik atau membantu kerja rumah. Saya lebih malang dari nasib ibu. Bukan saja seringkali berendam air mata tapi saya seperti musafir di rumah sendiri....

Wahai anak-anak mama, kalaulah kalian tahu bagaimana sebak dan luluhnya hati seorang ibu bila dilukakan tapi mama senantiasa memaafkan anak-anak mama walau bagaimana remuk hati ini.

BILA TERSASAR JALAN PULANG

TIDAK mungkin sama hidup anak-anak yang ada ibu dan yang tidak beribu. Wajah duka si anak yatim pasti dapat merobek hati sekeras batu. Hilai tawa anak yatim sumbang iramanya, seperti ada bait duka di tengah-tengah.

Begitu juga hiba yang dirasa bila tangisan mereka berpanjangan seperti tiada penghujung. Dan itulah yang saya rasakan ketika melihat 4 orang cucu tiri meratapi pemergian ibu mereka pada satu malam awal tahun ini.

Berita kehilangan menantu tiri saya, Mairisah (Mai), 40 tahun, bukan saja membuat saya tersentak tapi terus tersentap dari segala kemungkinan yang bakal berlaku kepada anak-anak saya bila saya menyusul Mai, entah bila-bila saja.

Anak-anak Mai seramai 4 orang, semuanya masih di bangku sekolah dan yang paling kecil, Dararesani, berusia 8 tahun.

Beberapa hari lagi sekolah akan dibuka. Bagaimanakah anak-anak ini akan meneruskan kehidupan tanpa ibu di sisi. Insafnya melihat drama kehidupan di depan mata. Tiada ucapan selamat tinggal dan babak perpisahan seperti di drama dan filem kerana semuanya tidak dapat dijangka.

Tanpa dakapan, pelukan dan ciuman, Mai pergi meninggalkan anak-anak. Penyakit kencing manis punca kematian dan arwah sudah menghidapinya sejak sekian lama. Empat beradik bergilir menjaga ibu bila ayah mereka keluar bekerja. Disuap, dimandi, dimanja semuanya dibuat sebaik mungkin oleh anak-anak ini.

Satu hari, Mai tiba-tiba pengsan dan koma. Bukan ada warkah terakhir mahupun pesanan, dan Mai berlalu pergi buat selamanya. Yang kecil belum puas lagi dibelai, yang besar seperti kebingungan kerana belum bersedia. Betapa besarnya peranan ibu hanya bila sudah tiada baru terasa.

Segalanya tentang ibu itu besar erti pada sebuah kehidupan fana ini, baik namanya ibu roti, ibu sawat, ibu negeri mahupun ibu tiri. Betapa signifikannya seorang ibu di dalam sebuah instituisi keluarga. Sepinya rumah yang ditinggal sang ibu, sepi lagi ruang hati anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.

Ratapan cucu-cucu tiri membuat saya rasa begitu kerdil. Apa lagi yang lebih hiba dari melihat anak-anak meratapi jenazah ibu diturunkan ke liang lahad. Bercerai kasih seperti ini, badan yang sasa pun akan terasa seakan melayang. Belum pun kering tangisan melepaskan Mai menemui sang pencipta dan alam barunya, silih berganti pula dengan tangisan melihat sedu sedan anak-anak Mai melangkah ke 'alam baru' tanpa ibu.

Biar pun kematian selalu 'hampir' dalam hidup saya, begitu pun, saya tewas dan masih lemah untuk mengawal perasaan. Saya akan terus bergelut dengan emosi bila ianya datang menyapa tidak kira waktu dan tempat.

Kita perlu cekal dan hidup perlu diteruskan tapi tanyalah pada si bijak pandai, tidak mungkin ada penawar pada sebuah kematian. Melainkan tuhan melenyapkan kesedihan itu dan memadamkan episod duka sedikit demi sedikit. Tapi parutnya tetap ada kerana bila kematian menyapa, airmata akan menjadi teman yang paling setia.

Di mana-mana saja berita tentang kematian akan menjelma tetapi sedikit yang mengambil iktibar darinya Jangan lupa bekalan untuk dibawa pulang, begitu pesanan yang arwah ayah selalu titipkan. Kedegilan dan kesibukan membuat saya selalu tersasar dan lalai. Kerugian itu akan saya tebus sedikit demi sedikit. Tapi bila?

Getaran kematian itu bagaikan terasa. Sukarnya menjadi 'si alim yang jahil' dan ibu yang gagal mendidik. Di usia begini, pendakian menuju jalan pulang semakin hampir selama mana jasad masih dikandung badan. Tapi berapa ramai yang diberi ingatan tentang usia yang semakin susut.

Jangka hayat bukan ada tanda luput. Dan tidak seperti catatan sebuah kalendar. Bila dan di mana, hampir tiada yang diberi pengetahuan tentang itu. Kata pujangga, melihat kematian umpama seekor ayam yang melihat ayam-ayam lain disembelih di depan mata, satu demi satu dikorbankan.

Bila seekor sudah menggelupur dan tumbang, seekor lagi menanti giliran. Tidak berkuasa untuk mengelak melainkan terpaksa menyerah diri. Meskipun begitu, hati tetap degil untuk menongkat dunia dan melupakan episod 'ayam yang disembelih.' Sedangkan lebih afdhal jika anggap hidup ini seperti 'bom jangka', bila-bila saja akan meletop.

HANYA SATU DALAM SERIBU

SETIAP kali tiba hari Thaipusam, saya akan ralit mengamati penganut agama Hindu membawa kavadi dan entah macam mana visual itu akan mengimbau kenangan lama.

Pandangan di Batu Caves itu sendiri menggamit memori silam tentang arwah mak yang selalu bercerita tentang arwah Tok Bah, datuk saya, Ghulam Dastagir Ghouse Miah yang berasal dari selatan Uttar Pradesh, India, seorang mandor binaan yang diberi kontrak membangun anak-anak tangga di Batu Caves.

Bila mak membuka cerita tentang Tok Bah, nada mak sayu bercampur bangga. Saya selalu rasa terseksa kerana terpaksa mendengar kehebatan Tok Bah tapi kini baru saya sedar kenapa mak rasa begitu sentimental setelah saya sendiri menjejak liku-liku hidup Tok Bah dan mak.

Bagi mak, Tok Bah seorang insan yang cukup mulia dan bagi saya maklah wanita yang paling mulia. Mungkin kesedaran ini lahir setelah mak sudah tiada tapi saya bangga menjadi anak pada seorang ibu yang cukup mulia hatinya.

Setiap kali saya ditegur menghampiri satu dari puluhan sifat-sifat mak yang baik, saya akan tersenyum pahit terkenangkan mak kerana dia sudah tiada untuk mendengar kata-kata pujian itu. Itu pun hanya setelah hampir separuh abad, baru saya dapat menghampiri jejak mak.

Begitu jauh jurang pemisah untuk mendekati sifat-sifat mulia yang mak ada. Terkenangkan mak, saya hanya mampu mengesat air mata kerana ketiadaan mak membuat hidup saya miskin dengan ketiadaan kasih sayang, hina dengan cercaan seteru dan pincang dalam menghadapi dugaan yang datang.

Ramai kenalan saya sedar arwah mak seorang yang garang, tegas tapi cukup penyayang. Dan itulah antara ciri-ciri istimewa mak yang akan buat saya rindu pada mak sampai bila-bila. Mak suka menegur dalam bergurau dan dalam mendidik, mak jarang berkompromi.

Naluri mak menangkap kata dusta cukup kuat seolah-olah dia dilahirkan dengan alat lie detector. Saya selalu terfikir kenapa tekaan mak selalu tepat dan kenapa sumpahan mak selalu menjadi. Mak paling benci mendengar apa jua alasan dan saya adalah anak yang paling pintar bagi alasan. Kedegilan saya selalu buat mak pening kepala hinggakan mak berdoa agar saya dikurniakan anak-anak yang serupa. Dan itulah sumpahan awal mak yang melekat sampai sekarang....

Mak selalu titipkan pesanan ala jeritan dan bebelan dan dia paling pantang saya membaca buku cinta kerana dia tahu saya kuat berangan. Hanya beberapa buku cerita dibenarkan dengan restu dan izin untuk bacaan tapi dalam seliaan yang ketat pun, saya sempat juga 'mencuri' membeli buku second hand melalui kawan-kawan, hampir semua siri romantik Mills & Boons dan Barbara Cartland.

Setiap kali mak tangkap saya membaca novel cinta, saya akan 'didera' menggiling cili dan rempah. Setelah tangan saya pijar, baru mak kembalikan buku. Mak tak suka saya baca buku cinta kerana saya kuat berangan 'dilamun cinta' dengan hero di dalam buku.

Yang paling menyakitkan hati saya bila mak buat sindiran anti klimaks supaya saya terhenti dari lamunan. Kata mak, "orang laki-laki telan bara api sepikul pun jangan percaya".

Mula-mula saya ingat mak hanya cemburu melihat saya 'bercinta', semakin lama baru saya tahu nilai sebenar kata-kata hikmat itu. Bila naluri keibuan itu datang pada usia saya yang sangat muda, ianya dikirimkan dengan getaran dan ingatan melalui kaca mata mak saya.

Kata mak, hanya naluri seorang ibu saja dapat memberi petunjuk pada anak yang degil. Bukan senang bila kita terpaksa menjeruk hati melayan kerenah anak-anak yang tidak mendengar kata. Saban waktu saya cuba mendidik dalam nada tegas dan lembut walau kadang kala terpaksa beralah bila anak-anak meninggikan suara.

Teguran dan kemarahan tidak lebih dari sebuah ekspresi kasih sayang. Alangkah bahagianya kalau mendapat anak yang mendengar kata...dipanggil datang, disuruh tidak membantah dan selalu melahirkan apa yang tersirat tanpa ada maksud tersirat. Kadang kala, sebagai ibu kita sendiri terkhilaf menilai maksud sebenar di sebalik tindakan anak-anak.

Apabila dewasa, saya dikelilingi lebih ramai anak-anak. Walau ada ramai anak sendiri, hidup saya tidak pernah sunyi dengan anak angkat, anak buah, anak saudara, anak tiri dan anak-anak orang yang terkait dengan hidup saya kini. Puas juga saya cuba berlaku adil dengan timbang tara sendiri tetapi saya selalu dihukum dengan neraca timbangan ciptaan manusia.

Walau pedih mendengar umpatan anak-anak baik anak sendiri atau anak orang, saya cuba tidak ambil hati atau rasa jauh hati dalam jarak masa yang lama. Kata arwah mak, seorang ibu tidak pernah membuang anak, walau sejahat mana mereka. Kalau adapun hanya marah-marah sayang. Rajukpun tak sampai ke petang. Bila terbayang wajah anak-anak mulalah tergenang airmata.....

Bila ada anak-anak yang menjadi 'duri dalam daging' dan 'api dalam sekam', ia bagai satu mimpi ngeri yang tidak dapat dilafaz dengan kata-kata. Bukan salah ibu mengandung, cuma anak-anak kini semakin pandai bermain politik. Berapa kali dipesan, jangan bermain api, nanti terbakar tapi degil mengikut bisikan hati.

Bila anak-anak tersasar, yang bersalah tetap mak bukan ayah. Di bahu ibu akan tetap terbeban semua permasalahan walau anak membuat bermacam onar tanpa fikir dua kali kerana kasih sayang ibu itu sepanjang jalan, sayang ayah bila mendengar kata dan sayang saudara bila berada....

Saya masih cuba menjadi ibu yang baik walau beribu kali terkhilaf dalam pertimbangan dan tindakan. Walau diusik bersikap seperti 'mother hen' selalu ingin melindungi anak-anak , saya tetap tidak dapat merubah sikap saya. Justeru, bila anak-anak ditegur kerana buruk laku, yang terasa tentu sekali hati tua ini kerana gagal mendidik. Biar buruk di mata orang, anak-anak saya adalah racun dan penawar, SATU dalam seribu!