Tuesday, July 13, 2010

RACAU SANG PENJAJAH

Rabu November 25, 2009

KALAU ikutkan nahu yang betul, hanya orang gila dan tidak siuman saja yang akan meracau. Tapi di zaman ini, ramai yang tidak stabil emosi dan minda juga akan meracau-racau apabila kehendak hati tidak dipenuhi.

Itulah yang dilalui oleh Pippa Lee dalam filem 'The Private Lives Of Pippa Lee'. Ketika menonton filem ini, saya terpaku melihat keracauan minda wanita bernama Pippa Sarkissian dengan masalah celaru emosinya yang dijejaki sejak dari kecil lagi. Dan semua ini adalah kesan dari 'penjajahan' anasir-anasir yang tidak sihat yang datang dalam berbagai bentuk dan rupa.

Kehidupannya menjadi tidak normal kerana 'dijajah' oleh masalah dalaman dan luaran. Ayah Pippa seorang paderi dan ibunya ada masalah bipolar. Masa muda Pippa banyak terdedah dengan pergaulan bebas, seks liar, dadah dan hidup yang tidak stabil hinggakan dia tidak mampu memilih jalan yang betul.

Dalam keadaan yang terkapai-kapai itu, Pippa temui kehidupan baru bersama Herb Lee, seorang pengarah karismatik yang kemudian mengahwininya. Namun Herb menganggap Pippa tidak lebih dari seorang 'trophy wife'. Kehadiran dua orang anak tidak menghalang Herb dari bermain gila dengan Sandra Dulles, perempuan yang jauh lebih muda dari Pippa.

Pippa semakin parah bila dia mengalami 'sleep disorder' dan dalam keadaan terumbang ambing, akhirnya dia diselamatkan oleh seorang pemuda bermasalah bernama Chris.... Hidup Pippa penuh warna tapi kosong. Bermacam perasaan bermain di fikiran melihat cara Pippa mengendalikan hidupnya yang penuh dramatik. Keadaan mentalnya yang dibiarkan saja 'dijajah' membuat dia mengambil jalan keluar yang mudah.

Dalam kehidupan seharian, terlalu ramai 'Pippa' yang saya temui. Aura si penjajah cukup melekat di dalam sanubari ini kerana sudah terdedah dengan hal-hal yang bersangkutan dengan subjek itu sedari kecil lagi.

Masalah Pippa ialah dia membenarkan dirinya dijajah walau jiwanya memberontak, tapi tetap mengikut tali arus. Itu cara Pippa. Pada saya, manusia itu fitrahnya memang bersikap 'territorial' tetapi akal kita yang terletak di tempat teratas mampu mendorong kita membuat perbandingan.

Jangankan manusia, haiwan juga mempunyai sifat yang rakus dan 'territorial.' Bila difikirkan balik, banyak masalah yang berlaku dalam rumahtangga, pejabat, negara dan juga apa juga organisasi berpunca dari kerakusan atau keracauan yang mula menakluk diri. Hinggakan suami, isteri, anak, majikan, pekerja, ahli politik, ulamak terlupa akan batas-batas norma dan hilang kawalan dan pertimbangan.

Persahabatan dan perhubungan jadi tegang dan terus putus bila suara hati mengikut saja rentak 'keracauan minda' yang bercelaru.

Dan bila prejudis mula menjengah diri, lama kelamaan kita akan hanyut dengan dunia persepsi yang kita buat sendiri. Bila tindakan yang dianggap biasa, disalaherti sebagai luar biasa dan yang tidak sensitif disifatkan sebagai sensitif, semua itu sudah sampai ke tahap keracauan yang serius.

Saya selalu mengajar anak-anak jangan sampai menjadi mangsa penjajah. Menjajah pun jangan sekali. Setiap perhubungan perlu disimpul dengan kata-kata berhemah. Biarpun suara hati perlu diluahkan dengan nada serius dan marah, jangan sesekali kita hilang pertimbangan hingga setiap tindak tanduk kita mencerminkan satu keracauan dan menjadi racun yang akan meninggalkan noda hitam dalam hati kita. Seorang ibu atau ayah senang sekali menggunakan kuasa veto mereka untuk menjajah minda anak-anak mereka. Seorang suami atau isteri juga bisa mengongkong hidup masing-masing.

Teringat saya ketika menjadi penolong pentadbir dan warden di sebuah pusat pengajian tinggi di pantai timur satu ketika dulu. Saya mempunyai seorang pengetua yang tegas dan kurang bertimbang rasa. Setiap hari, antara tugasan saya, ialah memantau tukang kebun supaya taman terurus dan senantiasa nyaman.

Bila tukang kebun gagal berbuat demikian, saya pula dipaksa menggantikan tempatnya. Akhirnya, saya pula yang dikerah untuk menyiram pokok-pokok kegemarannya iaitu pokok bunga kertas yang berduri. Sambil menyiram, tanahnya juga perlu digembur manja, jangan terlalu keras tapi sedang-sedang saja.

Pengetua saya yang cerewet itu boleh menelah kesan siraman hanya dengan melihat 'gerak tanah' pokok bunga kertas itu. Di usia 25 tahun pada ketika itu, saya hanya membiarkan saja diperlakukan seperti tukang kebun walapun itu bukan tugas saya.

Itu lah antara episod yang mengesankan hidup saya. Hari ini, saya sengaja biarkan pokok bunga kertas timbul liar di luar pagar rumah saya. Liarnya pokok bunga kertas itu membayangkan satu simbol kemerdekaan bagi diri saya, yang sudah tidak lagi dijajah oleh pengetua itu.

Sikap pengetua itu tidak mampu ditegur oleh sesiapa pun. Orang-orang terdekat pun membiarkan saja dia meracau kerana takut terkena tempias racauan.

Yang paling saya takuti apabila di akhir usia, saya akan menemui nasib ala-Pippa. Sayang sekali, walau sudah mencecah usia emas, Pippa masih terkapai-kapai mencari arah tuju hidup.

No comments:

Post a Comment