Tuesday, July 13, 2010

RACAU SANG PENJAJAH

Rabu November 25, 2009

KALAU ikutkan nahu yang betul, hanya orang gila dan tidak siuman saja yang akan meracau. Tapi di zaman ini, ramai yang tidak stabil emosi dan minda juga akan meracau-racau apabila kehendak hati tidak dipenuhi.

Itulah yang dilalui oleh Pippa Lee dalam filem 'The Private Lives Of Pippa Lee'. Ketika menonton filem ini, saya terpaku melihat keracauan minda wanita bernama Pippa Sarkissian dengan masalah celaru emosinya yang dijejaki sejak dari kecil lagi. Dan semua ini adalah kesan dari 'penjajahan' anasir-anasir yang tidak sihat yang datang dalam berbagai bentuk dan rupa.

Kehidupannya menjadi tidak normal kerana 'dijajah' oleh masalah dalaman dan luaran. Ayah Pippa seorang paderi dan ibunya ada masalah bipolar. Masa muda Pippa banyak terdedah dengan pergaulan bebas, seks liar, dadah dan hidup yang tidak stabil hinggakan dia tidak mampu memilih jalan yang betul.

Dalam keadaan yang terkapai-kapai itu, Pippa temui kehidupan baru bersama Herb Lee, seorang pengarah karismatik yang kemudian mengahwininya. Namun Herb menganggap Pippa tidak lebih dari seorang 'trophy wife'. Kehadiran dua orang anak tidak menghalang Herb dari bermain gila dengan Sandra Dulles, perempuan yang jauh lebih muda dari Pippa.

Pippa semakin parah bila dia mengalami 'sleep disorder' dan dalam keadaan terumbang ambing, akhirnya dia diselamatkan oleh seorang pemuda bermasalah bernama Chris.... Hidup Pippa penuh warna tapi kosong. Bermacam perasaan bermain di fikiran melihat cara Pippa mengendalikan hidupnya yang penuh dramatik. Keadaan mentalnya yang dibiarkan saja 'dijajah' membuat dia mengambil jalan keluar yang mudah.

Dalam kehidupan seharian, terlalu ramai 'Pippa' yang saya temui. Aura si penjajah cukup melekat di dalam sanubari ini kerana sudah terdedah dengan hal-hal yang bersangkutan dengan subjek itu sedari kecil lagi.

Masalah Pippa ialah dia membenarkan dirinya dijajah walau jiwanya memberontak, tapi tetap mengikut tali arus. Itu cara Pippa. Pada saya, manusia itu fitrahnya memang bersikap 'territorial' tetapi akal kita yang terletak di tempat teratas mampu mendorong kita membuat perbandingan.

Jangankan manusia, haiwan juga mempunyai sifat yang rakus dan 'territorial.' Bila difikirkan balik, banyak masalah yang berlaku dalam rumahtangga, pejabat, negara dan juga apa juga organisasi berpunca dari kerakusan atau keracauan yang mula menakluk diri. Hinggakan suami, isteri, anak, majikan, pekerja, ahli politik, ulamak terlupa akan batas-batas norma dan hilang kawalan dan pertimbangan.

Persahabatan dan perhubungan jadi tegang dan terus putus bila suara hati mengikut saja rentak 'keracauan minda' yang bercelaru.

Dan bila prejudis mula menjengah diri, lama kelamaan kita akan hanyut dengan dunia persepsi yang kita buat sendiri. Bila tindakan yang dianggap biasa, disalaherti sebagai luar biasa dan yang tidak sensitif disifatkan sebagai sensitif, semua itu sudah sampai ke tahap keracauan yang serius.

Saya selalu mengajar anak-anak jangan sampai menjadi mangsa penjajah. Menjajah pun jangan sekali. Setiap perhubungan perlu disimpul dengan kata-kata berhemah. Biarpun suara hati perlu diluahkan dengan nada serius dan marah, jangan sesekali kita hilang pertimbangan hingga setiap tindak tanduk kita mencerminkan satu keracauan dan menjadi racun yang akan meninggalkan noda hitam dalam hati kita. Seorang ibu atau ayah senang sekali menggunakan kuasa veto mereka untuk menjajah minda anak-anak mereka. Seorang suami atau isteri juga bisa mengongkong hidup masing-masing.

Teringat saya ketika menjadi penolong pentadbir dan warden di sebuah pusat pengajian tinggi di pantai timur satu ketika dulu. Saya mempunyai seorang pengetua yang tegas dan kurang bertimbang rasa. Setiap hari, antara tugasan saya, ialah memantau tukang kebun supaya taman terurus dan senantiasa nyaman.

Bila tukang kebun gagal berbuat demikian, saya pula dipaksa menggantikan tempatnya. Akhirnya, saya pula yang dikerah untuk menyiram pokok-pokok kegemarannya iaitu pokok bunga kertas yang berduri. Sambil menyiram, tanahnya juga perlu digembur manja, jangan terlalu keras tapi sedang-sedang saja.

Pengetua saya yang cerewet itu boleh menelah kesan siraman hanya dengan melihat 'gerak tanah' pokok bunga kertas itu. Di usia 25 tahun pada ketika itu, saya hanya membiarkan saja diperlakukan seperti tukang kebun walapun itu bukan tugas saya.

Itu lah antara episod yang mengesankan hidup saya. Hari ini, saya sengaja biarkan pokok bunga kertas timbul liar di luar pagar rumah saya. Liarnya pokok bunga kertas itu membayangkan satu simbol kemerdekaan bagi diri saya, yang sudah tidak lagi dijajah oleh pengetua itu.

Sikap pengetua itu tidak mampu ditegur oleh sesiapa pun. Orang-orang terdekat pun membiarkan saja dia meracau kerana takut terkena tempias racauan.

Yang paling saya takuti apabila di akhir usia, saya akan menemui nasib ala-Pippa. Sayang sekali, walau sudah mencecah usia emas, Pippa masih terkapai-kapai mencari arah tuju hidup.

EPISOD 'SUP AYAM MERAH' DI PAGI RAYA

Selasa September 15, 2009

ENTAH kenapa saya amat tertarik dengan judul 'Bawang Putih Bawang Merah'
cerita klasik lama. Bila saja rakan sekerja, Zanariah Abd. Mutalib mengusulkan
tajuk itu untuk kolum ini, saya terus setuju.

Kenangan menjadi 'Bawang Merah' sewaktu kecil masih melekat dalam fikiran.
Lagipun, saya pernah berangan-angan jadi Bawang Merah waktu kecil-kecil dulu.
Setiap kali dimarahi ibu kerana selalu berangan, saya akan ke buaian depan rumah
dan menyanyi lagu 'Pohon Beringin' ala Bawang Merah sambil menangis.

Dalam otak kecil saya waktu itu, wajah bengis ibu persis Mak Kundor (watak Siti
Tanjung Perak). Arwah ibu, yang terkenal dengan sikap bengisnya, akan selalu memastikan apa saja kerja rumah yang yang dilakukan sempurna di matanya. Kalau tidak, siaplah...habis sudip, senduk dan apa saja barang-barang dapur akan terbang singgah di badan.

Kalau nasib kurang baik, objek-objek ini akan singgah tepat ke badan. Kalau nasib
baik, kena sipi saja.

Setelah dewasa, saya mempunyai pertimbangan sendiri tentang apa yang saya lalui.
Masa kecil dulu, saya anggap tindakan ibu sebagai zalim tapi bila sudah dewasa
dan mempunyai anak sendiri, saya menghargai didikan ibu yang keras seperti mak
tiri itu.

Kemungkinan didikan yang diterimanya dari seorang ibu tiri sejak dilahirkan
(kerana ibu kandungnya meninggal dalam pantang) menjadikan ibu saya seorang
yang tegas, garang dan 'perfectionist.' Namun dia tetap seorang yang penyayang. Di
mata saya, tiada tandingan kasih sayang yang dicurahkan.

Pengajaran masa kecil juga banyak membentuk peribadi saya menjadi tegas dan
cuba melakukan setiap kerja ke arah kesempurnaan.
Peristiwa yang paling tidak dapat lupakan setiap Hari Raya, insiden diketuk kepala
dengan senduk bila saya tersilap menuang sirap merah ke dalam sup ayam sedang
air sirap dengan aroma daun pandan dan gula batu masih mendidih di sebelah sup
ayam.

Waktu itu saya tengah berangan hendak mengirim lagu permintaan ke sebuah
rancangan radio. Selepas dimarahi dengan hebatnya, habis sudah kisah lagu
permintaan. Saya masih ingat lagi, arwah adik perempuan, Nona, memujuk dengan
menyanyikan lagu 'Pohon Beringin' dengan harapan saya akan tersenyum....

Ibu saya pula terus merajuk dan duduk di tembok hadapan rumah. Dan di pagi
Raya tahun itu, kami sekeluarga telah menikmati sup ayam berwarna merah sambil
teguran demi teguran dari ayah dan ibu datang bertubi-tubi. Sejak peristiwa itu,
saya tidak begitu gemar makan sup ayam.

Mujurlah marah ibu tidak lama. Di pagi Raya, dia tetap menyisir rambut saya yang
panjang dan didandan indah bersama riben untuk digayakan dengan baju kurung
yang dijahitnya. Sambil menyikat rambut, ibu tetap berleter tentang kecuaian saya.

Yang lebih memalukan, setiap tetamu yang berkunjung ke rumah pada hari itu
akan dikhabarkan tentang 'sup ayam merah'.
Harapan yang diletakkan di bahu saya sebagai anak sulung perempuan begitu tinggi
terutama hal-hal dapur. Di usia 8 tahun, saya sudah masak nasi, pandai goreng
telur dan membasuh baju menggunakan tangan. Dan di usia 12 tahun, sudah
belajar membuat 'sup ayam merah'...

Antara pesanan ibu yang masih saya ingat sampai sekarang selepas episod sup ayam
merah - 'Kalau buat kerja separuh hati, hasilnya begitulah'.
Sehingga kini, setiapkali filem 'Bawang Putih Bawang Merah' di kaca TV,
kenangan saya akan tetap ke buaian 'ajaib' di hadapan rumah saya. Banyak
kenangan pahit manis tersimpul di situ.

Walaupun cat buaian itu sudah lusuh dan besinya juga sudah karat, nostalgia
menyanyikan lagu 'Pohon Beringin' tidak pernah padam. Dan meskipun beratusan
kali nyanyikan lagu 'berhantu' itu, saya masih tidak dapat berkahwin dengan putera
raja.

Dan kini semakin menginjak ke usia emas, saya dapat rasakan aura Mak Kundor
kini meresap dalam badan saya. Yang paling tragis, bila ramai menyapa mesra saya
dengan panggilan 'mak tiri'!

Tuesday, June 8, 2010

BILA SI LUNCAI MAIN PONDOK-PONDOK

MASA kecil dulu, saya suka sangat main pondok-pondok. Kalau dapat kain selimut atau gebar yang lebar bertambah tinggi lagi imaginasi saya untuk membuat pondok. Selalunya saya hanya bina pondok atau mahligai di dalam kamar kecil saya. Saya ikat bucu kain gebar di tingkap bilik dan selit dua lagi bucu di penjuru almari.

Saya cukup bangga dengan pondok saya. Gebar pula warna putih dan kadangkala warna belang. Entah kenapa, saya tidak pernah bertanya kenapa gebar kami warna putih. Waktu kanak-kanak, apa saja yang tersedia adalah satu rahmat. Kami hanya menerima pemberian mak dan ayah tanpa banyak bertanya. Tidak seperti budak-budak sekarang, banyak pilihan dan kerenah.

Bila pondok sudah siap, adik-adik dan abang sulung akan tumpang tidur sambil mendengar cerita hantu....

Dan tukang ceritanya tentulah saya kerana saya paling suka mereka-reka cerita hantu yang didengar dari kawan-kawan di kelas mengaji. Cerita hantu tetek dan pocong paling diminati kerana ia lucu, seram dan tidak jemu didengar.

Setelah dewasa, saya terkilan kerana tidak dapat memberi pengalaman 'main pondok-pondok' itu kepada anak-anak saya. Mungkin juga mereka kini banyak permainan tidak seperti saya.

Dulu, saya hanya melihat sambil berlalu bila terlihat permainan seperti Monopoly, Scrabbles dan banyak lagi permainan indoor di gedung besar. Seingat saya, hanya satu papan dam dan 'Snake & Ladder' sahaja ada di dalam rumah. Ketika usia meningkat menengah, saya dikenalkan dengan permainan chess. Itu pun secara kebetulan kerana permainan itu diberi oleh teman ibu.

Waktu kanak-kanak saya sedih dalam keindahan kerana kemampuan yang tidak seberapa. Hanya buku-buku 'Enid Blyton' menemani kami adik-beradik. Dan setelah habis buku dibaca, ibu akan bertanya jalan cerita. Kalau puas hati, baru dibelikan yang baru. Setiap buku yang dibeli ibu, wajib dijaga dengan cermat hinggakan nama kami pun tidak dibenarkan ditulis di atas buku. Begitu keras sekali hukuman yang ditetapkan.

Bila sudah dewasa, saya melihat 'main pondok-pondok' dari sudut berbeza. Bagi saya ia satu metafora apabila saya membayangkan kegagalan nakhoda/pemimpin atau pemerintah mengemudi sesuatu persatuan, bahagian atau negara.

Nakhoda ini mungkin tidak sedar betapa teruknya emosi anak-anak kapal yang akan tenggelam kerana kegagalan mereka mengemudi. Menjadi nakhoda bukan setakat 'main pondok-pondok' kerana tanggung jawabnya besar, perlu amanah dan tidak boleh syok sendiri.

'Main pondok-pondok' satu escapism bagi saya. Tak tahulah samada pemimpin-pemimpin ini memegang jawatan sekadar satu 'escapism' juga. Maklumlah, bukan sedikit yang lupa diri bila menyandang jawatan berpengaruh. Ramai yang hanyut, bersikap seperti kaduk naik junjung dan zalim kepada orang-orang bawah.

Tapi bila pemimpin berlagak macam si luncai dan 'main pondok-pondok' pula, bertambah kacau lah. Saya hilang kata-kata untuk membayangkan kemungkinan yang akan berlaku. Hendak biarkan si luncai begitu saja, kesian pula. Tapi rasanya elok dibiarkan saja kerana bila si luncai jatuh dari pondok, yang sakit bukan badan saya.....

Thursday, June 3, 2010

DAN KU TITIPKAN ANAKKU - ARIF, WAWA, ZEERA, ZANA & AIN

ANGGAPLAH warkah ini sebagai amanat seorang ibu. Terlalu sukar untuk seorang ibu mengucapkan selamat tinggal bila disapa pergi. Perpisahan itu amat sakit bagi seorang ibu seperti ibumu ini.

Hendak menyuap sesuap nasi sekalipun terbayang setiap wajah anak-anak. Di mana jua anak-anak ibu berada, salam sayang dan rindu dari kejauhan ini!

"Sudah makankah anak-anakku? Apalah agaknya yang dilakukan kini? Kalau ada yang menyakiti, katakan ibumu akan tetap membela...dan suara ibumu terputus di sini.

Macam-macam kerisauan yang singgah di kepala bila berjauhan dengan anak-anak tercinta. Kalau sudah dianggap anak, naluri ibu ini akan selalu berbisik rindu. Ingin dijengah takut menganggu. Hendak merisik khabar, takut nanti dianggap hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Dan ibu biarkan saja kerinduan itu menjadi teman di hujung usia ini bersama seribu memori semalam.

Ingat semua pesanan ibumu ini. Jangan dilayan nafsu amarah orang, bawa dirimu sebaik mungkin. Anak-anak ibu cerdik dan berhemah. Kalaupun hatimu meluap dengan emosi berbagai, bayangkan saja wajah ibumu ini....insya Allah terlerailah kekusutanmu.

Kepada anak 'emas'ku Arif, jiwamu sekental jiwa ibumu. Ibu bangga dengan ketajaman fikiran dan tulisanmu. Anak ibu memang begitu, hanya satu seperti Arif. Jaga dirimu sayang dan tengok-tengokkan adik-adik yang lain kerana ibu semakin jauh. Semoga tuhan dapat berikan ibu kekuatan untuk menyayangimu dari jauh.

Jolokan anak 'IVF' atau anak niat hanya gurauan buat Zana yang comel. Ibu dengar Zana sudah pandai mengambil hati keluarga baru hingga cukup disenangi di seberang sana. Bangganya tidak terkata. Bila agaknya habis purnama untuk ibu bersua dengan anak ibu yang bernama Nurul Umairah ini.

'Jin Notti' hanya usikan ibu buat anak sulung bernama Wawa. Kemana hilangmu sayang? Sejauh mana Wawa pergi, sejauh itu doa ibu mengiringimu. Dalam hati tetap teringat walau sudah hampir separuh tahun berlalu, ibu tetap cuba menjejaki Wawa. Marah ibu tidak pernah lama. Keletahnya anakku Wawa masih terbayang di mata. Setiap kesilapan itu banyak hikmahnya sayang. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Kalau masih ada ruang dalam hatimu, kirimlah berita walau sepotong ayat. Tetap sayang dan rindu padamu....

Permata ibu yang seorang lagi cukup sempurna di mata....Zeera bagaikan anak kandung. Tidak pernah termimpi mendapat permata yang begitu tinggi nilainya. Hampir sempurna tugas ibu melihat anak yang ku asuh tiga tahun lamanya menjadi sandaran dan harapan. Kemanisan budimu akan senantiasa terpahat di dalam memori ini.

Ain, anak manja ibu yang tiada taranya. Diammu membuat hati ibu terusik kerana ibu tahu banyak yang Ain fikirkan. Tak lama lagi, langkahmu akan berbeza. Alam baru yang akan ditempuhi menjadikan debaran hati seorang ibu tidak keruan. Mampukah anakku mengecapi kebahagiaan yang diimpikan. Ibu senantiasa doakan yang terbaik buatmu.

Dan bila ibumu tidak mampu lagi mendengar segala rintihanmu, menjaga urusan kerjamu serta menyediakan santapan yang biasa ibu sajikan, langkah ibu menjadi semakin pincang.

Tiada lagi deraian ketawa memcah keheningan malam seperti di rumah lama ibu dulu. Kenangan itu menjadikan ibu seperti pengemis rindu. Di hujung perjalanan ini, rindu ini semakin panjang dan hari-hari yang dilalui begitu suram.

Dan atas segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri, ku titipkan anak-anakku denganMu kerana kau tahu yang terbaik untuk kami. Amin.

Wednesday, June 2, 2010

RACAU SANG PENJAJAH II

DI MANA-MANA saja, kalau sudah dinamakan penjajah, tentu kelibat mereka dibenci. Jarang kedengaran penjajah yang baik hati. Kalau ada pun penjajah yang baik, mungkin itu satu kes yang asing dan pelik.

Nama penjajah itu sendiri membawa konotasi negatif. Alangkah malangnya nasib kita kalau terpaksa berhadapan dengan manusia yang ada sifat 'penjajah.' Bukan kerana mereka ada kuasa tetapi sebab mereka rasa mereka berkuasa walaupun kadangkala pangkat mereka tidak tinggi mana pun.

Dalam kehidupan saya yang meningkat senja, saya terpaksa berhadapan dengan ramai 'penjajah'. Yang peliknya, kesemua penjajah itu berbangsa Melayu dan mempunyai sifat yang tidak baik. Kalaulah mereka ini tahu hukuman yang menanti mereka, tentu mereka berfikir 10 kali sebelum menindas, menyimpan hasad dan menjajah.

Setiapkali saya 'dijajah', saya redha dan sebagai manusia biasa, saya tetap berdoa di dalam hati agar mereka-mereka ini diberikan hidayah atau petunjuk jalan pulang. Lebih sadis bila penjajah bersikap baling batu sembunyi tangan atau munafik. Dalam berjanji, mulut mereka begitu manis sekali hinggakan bila pisau terhunus di depan mata, mereka masih mampu tersenyum.

Sakitnya bila terpaksa berhadapan dengan seorang ketua yang dayus dan rakus. Jiwa halobanya tidak pernah puas dengan jawatan yang ada hinggakan setiap saat takut akan bayang-bayang sendiri. Tuhan anugerahkan akal dan bakat tidak sama pada semua. Kalaulah ada insan lain yang lebih berbakat, lebih paras rupanya dan lebih disayangi oleh semua, kenapa itu yang dicemburukan?

Rezeki masing-masing luas terbentang. Ceruk mana sekalipun seandai kita masih bernafas, insya Allah, bahagian kita tetap ada. Walaupun si penjajah menutup periuk nasi dengan fitnah dan onar, kita masih boleh mencari sesuap nasi dan lambat laun akan terbukti semua kebathilan.

Saya hairan kenapa ramai orang kita yang suka hidup bermuka-muka, mengadu domba, tidak ada maruah diri dan sanggup mengambil jalan pintas atas kudrat dan usaha orang lain. Seandai kita berbakat dan tahu harga diri, buktikan kemampuan, jangan dicanang kehebatan diri tetapi sebenarnya hanya tin kosong yang hampir berkarat.

Kilau permata dan intan yang kurang bernilai tidak mungkin sama. Saya paling takut bia sang penjajah menyanyi meracau-racau. Kesannya bukan saja pada diri tapi pada orang sekeliling. Racauan orang yang gila kuasa bukan sedikit timpal balasnya. Bayangkan saja cerita 'Emperor & His New Clothes' yang akhirnya terbogel seorang diri di tengah jalan kerana rakus ingin menunjukkan 'baju barunya' kerana dia berkuasa.

Walaupun kini saya terselamat dari bahang penjajah, episod itu banyak membuat saya sebak. Dan setiap kali, hati tersedik mengenangkan bagaimana saya dianiaya dan dijajah sebegitu rupa hingga tidak sempat membawa 'bekalan' untuk keluar dari rumah sendiri, saya pujuk hati ini dengan menggambarkan maharaja gila seperti dalam cerita 'Emperor & His New Clothes' dan saya tersenyum sendiri...

Cerita-cerita Racau Sang Penjajah tidak mungkin menemui titik nokhtah selagi hati masih rakus untuk berkuasa. Saya tinggalkan episod ini dengan tenang kerana Allah jua yang layak menghukum. Bagi saya, kehebatan Sang Penjajah sehebat Emperor yang berbogel itu!

BADUT ITU BUKAN SAJA DI SARKIS

BADUT di sarkis itu selalu ketawa. Dalam segala geraknya, mimik muka dan warna baju, semuanya garang dan meriah. Pernah saya terfikir kenapa badut terpaksa mengenakan 'prop' begitu untuk buat orang ketawa.

Tak sangka saya akan menemui jawapannya di akhir liku-liku hidup saya. Perjalanan hidup yang tak ubah seperti seorang badut membuat saya terfikir kenapa badut ketawa dalam tangisan. Bersusah payah untuk berpakaian compang camping, wajah pula diconteng-conteng dan kadangkala terpaksa memakai kasut yang begitu besar, hanya untuk menghiburkan orang lain.

Pesona janggal ini pula berjaya mencuit hati orang sekeliling. Sedangkan yang diketawa itu adalah dirinya. Patutlah badut berasa sedih bila bersendirian. Baju badut selalu berwarni warni seperti warna sebuah kehidupan. Dan saya amat kenal dengan warna-warna itu.

Kata arwah mak, saya dilahirkan dengan tali pusat tujuh warna seperti warna pelangi. Bidan yang menyambut saya berfirasat, kononnya saya akan menempuh 7 dugaan besar sebelum menemui kebahagiaan. Dan kebetulan pula saya sudah pun menempuhi enam dugaan. Seperti badut, saya selalu terpaksa 'berpura-pura' dalam menghadapi kerenah orang sekeliling dan ini membuat jiwa saya selalu bergolak.

Kalau hati sayu, di depan orang tidak bolek tunjuk. Nanti orang kata kita tak pandai bergaul. Sedih macam mana, saya perlu nampak biasa-biasa. Tapi bila sudah marah, saya memang tak pandai bersandiwara.

Dan warna-warna emosi perasaan inilah yang selalu membataskan peradaban saya. Alangkah bahagianya kalau saya tidak terikat dengan 'protokol' ini dan tidak perlu berpura-pura untuk menjaga hati sesiapa.

Saya teringat peristiwa makan sushi buat pertama kali di sebuah restoran Jepun di sebuah hotel di Subang Jaya 24 tahun yang lalu sewaktu saya bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi di Pusat Bahasa. Waktu itu saya minta ditukarkan ke Kuantan dan akan berhijrah.

Ketua saya, Puan Fawziah Ghani amat menyayangi saya dan ingin bawa saya makan di restoran yang mahal. Kerana hendak menjaga hati, saya tidak berani membantah bila diajak ke sebuah restoran Jepun walaupun selera saya agak konservatif dan kolot dan tidak pernah menyukai makanan mentah atau apa saja yang oriental.

Tapi sebab tabiat hendak menjaga hati, saya telan saja semua yang dihidangkan di hadapan mata tanpa menolak. Saya telah mengambil wasabi yang pelik rasanya dengan amaun yang banyak. Sayur-sayuran yang dipotong macam budak-budak hendak main masak-masak itu pun saya cuba. Juga ikan mentah yang layak dibagi makan kucing pun saya tidak berjaya menolak ke tepi.

Semuanya saya telan dengan perasaan yang bercampur baur. Marah, sedih dan lucu. Lagi banyak saya telan, bertambah kacau rasanya. Mula-mula saya rasa loya kemudian rasa nak muntah. Berpinar mata menahan segala rasa tak enak yang memualkan. Selesai saja, kami terus beredar pulang ke pejabat. Sampai saja, saya terus ke bilik air dan memuntahkan segala isi perut sampai basah kuyup baju dan lemah seluruh anggota badan.

Malamnya saya macam nak demam, perut saya masih tak enak dan rasa nak menangis kerana telah 'didera' makan makanan Jepun. Tapi bila terkenang betapa naifnya saya waktu itu, saya tersenyum walaupun jauh di sudut hati saya agak sedih kerana membiarkan diri 'didera'. Itulah pengalaman pertama saya jadi badut gara-gara mencuba makanan Jepun.

Dan kini setelah menjadi ibu, saya selalu sembunyikan riak sebenar hati saya pada anak-anak. Saya hanya mahu gembirakan mereka dengan cerita-cerita jenaka tentang kisah kehidupan sekeliling. Melihat wajah riang mereka, sudah cukup membuat saya rasa gembira walaupun bermacam masalah bersarang di otak.

Dan sesekali bila mereka terlihat badut tua ini menangis, wajah mereka akan menjadi redup dan bergenang airmata di kelopak mata. Perasaan bersalah membuat saya lupakan sebentar kisah duka dan teruskan persembahan badut saya di hadapan mereka.

Di celah-celah deraian ketawa penonton, badut di sarkis itu selalunya beraksi seorang. Saya juga begitu.Cuma perlukan prop yang lain....'pena'. Ini saja teman saya yang setia menolong saya melakar satu ilusi yang penuh warna tapi sepi. Dan bila tirai itu dilabuhkan, badut yang memegang pena itu selalu menangis.....

DAGANG SAYA MUSAFIR LALU....

Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu.... bait ini selalu terakam kemas dalam fikiran walaupun maksudnya satu ketika dulu, kurang saya mengerti. Dalamnya ertikata ayat ini hanya disedari selepas saya dihanyut oleh kisah yang hampir serupa.

Rupa-rupanya, kisah antara dua darjat akan sentiasa menjadi rujukan hidup ini walaupun di usia hampir setengah abad. Mulianya sekeping hati bukan sesuatu yang boleh dilafaz di bibir tapi perlu dirasa di dalam hati.

Seboleh mungkin, saya cuba buang dan hakiskan perasaan 'musafir lalu' di mana jua saya berada tapi kerakusan manusia yang hasad dan haloba membuat saya sedar ini adalah satu hakiki.

Bila semakin senja, hati lebih cepat terasa dan hati tua jadi serapuh biskut lemak bila orang lebih muda bersikap kurang hormat pada kita. Tidak perlu berada di rumah seri kenangan untuk merasakan bagaimana hibanya bila kita disisih, dipinggir, diherdik dan dihina. Cukuplah dengan drama harian yang dipentaskan di depan mata.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya menjadi lebih belas bila melihat orang tua-tua. Mungkin juga sebab saya sudah layak berada dalam kategori itu. Kalau dulu istilah Quran buruk kurang bawa erti pada saya, tapi kini tersimpul berbagai maksud.

Kenangan lama itu satu nostalgia yang cukup mahal. Rasa hormat pada orang lama adalah cermin peribadi seseorang. Saya tertarik dengan orang muda yang pandai hormat orang tua. Ayah kata, kalau kita pandai hormat orang tua maknanya, eloklah didikan kedua orang tua dan begitulah sebaliknya.

Bagi saya, kisah si Tanggang atau Malin Kundang menjadi saudagar kaya dan berkahwin dengan anak Raja bukan sekadar dongeng rakyat semata. Cerita itu mengajar kita menyelam hati ibu bernama Deruma kerana dianugerahkan anak seperti si Tanggang. Bila pengorbanan dibalas hinaan dan darjat ibu diletak setaraf sehelai kain buruk dibuat basahan, maka kemurkaan tuhan yang paling layak untuk anak derhaka.

Legasi si Tanggang ada di mana-mana bukan saja di sebuah institusi keluarga malah dalam kehidupan seharian. Saya hairan kenapa orang bersikap bongkak hanya kerana status, kedudukan dan ketinggian darjat. Muliakah kita berpangkat tinggi, memakai jenama serba mahal tapi sanggup perlekehkan orang lebih tua? Jenama mahal tidak mampu mengangkat martabat walau kita berada di status quo paling tinggi sekalipun.

Ibu selalu mengingkat saya dan adik beradik, jangan jadi macam Tanggang. Dan kini, saya pula mengulangi kata-kata hikmat itu pada anak-anak saya. Pernah beberapa kali saya terlihat arwah ibu merembas air mata kerana terlalu kecewa dengan sikap anak-anak.

Waktu-waktu itu paling sukar bagi saya. Saya tidak sanggup dan jadi tak keruan cuba mengambil hati ibu dengan mengemas bilik atau membantu kerja rumah. Saya lebih malang dari nasib ibu. Bukan saja seringkali berendam air mata tapi saya seperti musafir di rumah sendiri....

Wahai anak-anak mama, kalaulah kalian tahu bagaimana sebak dan luluhnya hati seorang ibu bila dilukakan tapi mama senantiasa memaafkan anak-anak mama walau bagaimana remuk hati ini.