Tuesday, July 13, 2010

RACAU SANG PENJAJAH

Rabu November 25, 2009

KALAU ikutkan nahu yang betul, hanya orang gila dan tidak siuman saja yang akan meracau. Tapi di zaman ini, ramai yang tidak stabil emosi dan minda juga akan meracau-racau apabila kehendak hati tidak dipenuhi.

Itulah yang dilalui oleh Pippa Lee dalam filem 'The Private Lives Of Pippa Lee'. Ketika menonton filem ini, saya terpaku melihat keracauan minda wanita bernama Pippa Sarkissian dengan masalah celaru emosinya yang dijejaki sejak dari kecil lagi. Dan semua ini adalah kesan dari 'penjajahan' anasir-anasir yang tidak sihat yang datang dalam berbagai bentuk dan rupa.

Kehidupannya menjadi tidak normal kerana 'dijajah' oleh masalah dalaman dan luaran. Ayah Pippa seorang paderi dan ibunya ada masalah bipolar. Masa muda Pippa banyak terdedah dengan pergaulan bebas, seks liar, dadah dan hidup yang tidak stabil hinggakan dia tidak mampu memilih jalan yang betul.

Dalam keadaan yang terkapai-kapai itu, Pippa temui kehidupan baru bersama Herb Lee, seorang pengarah karismatik yang kemudian mengahwininya. Namun Herb menganggap Pippa tidak lebih dari seorang 'trophy wife'. Kehadiran dua orang anak tidak menghalang Herb dari bermain gila dengan Sandra Dulles, perempuan yang jauh lebih muda dari Pippa.

Pippa semakin parah bila dia mengalami 'sleep disorder' dan dalam keadaan terumbang ambing, akhirnya dia diselamatkan oleh seorang pemuda bermasalah bernama Chris.... Hidup Pippa penuh warna tapi kosong. Bermacam perasaan bermain di fikiran melihat cara Pippa mengendalikan hidupnya yang penuh dramatik. Keadaan mentalnya yang dibiarkan saja 'dijajah' membuat dia mengambil jalan keluar yang mudah.

Dalam kehidupan seharian, terlalu ramai 'Pippa' yang saya temui. Aura si penjajah cukup melekat di dalam sanubari ini kerana sudah terdedah dengan hal-hal yang bersangkutan dengan subjek itu sedari kecil lagi.

Masalah Pippa ialah dia membenarkan dirinya dijajah walau jiwanya memberontak, tapi tetap mengikut tali arus. Itu cara Pippa. Pada saya, manusia itu fitrahnya memang bersikap 'territorial' tetapi akal kita yang terletak di tempat teratas mampu mendorong kita membuat perbandingan.

Jangankan manusia, haiwan juga mempunyai sifat yang rakus dan 'territorial.' Bila difikirkan balik, banyak masalah yang berlaku dalam rumahtangga, pejabat, negara dan juga apa juga organisasi berpunca dari kerakusan atau keracauan yang mula menakluk diri. Hinggakan suami, isteri, anak, majikan, pekerja, ahli politik, ulamak terlupa akan batas-batas norma dan hilang kawalan dan pertimbangan.

Persahabatan dan perhubungan jadi tegang dan terus putus bila suara hati mengikut saja rentak 'keracauan minda' yang bercelaru.

Dan bila prejudis mula menjengah diri, lama kelamaan kita akan hanyut dengan dunia persepsi yang kita buat sendiri. Bila tindakan yang dianggap biasa, disalaherti sebagai luar biasa dan yang tidak sensitif disifatkan sebagai sensitif, semua itu sudah sampai ke tahap keracauan yang serius.

Saya selalu mengajar anak-anak jangan sampai menjadi mangsa penjajah. Menjajah pun jangan sekali. Setiap perhubungan perlu disimpul dengan kata-kata berhemah. Biarpun suara hati perlu diluahkan dengan nada serius dan marah, jangan sesekali kita hilang pertimbangan hingga setiap tindak tanduk kita mencerminkan satu keracauan dan menjadi racun yang akan meninggalkan noda hitam dalam hati kita. Seorang ibu atau ayah senang sekali menggunakan kuasa veto mereka untuk menjajah minda anak-anak mereka. Seorang suami atau isteri juga bisa mengongkong hidup masing-masing.

Teringat saya ketika menjadi penolong pentadbir dan warden di sebuah pusat pengajian tinggi di pantai timur satu ketika dulu. Saya mempunyai seorang pengetua yang tegas dan kurang bertimbang rasa. Setiap hari, antara tugasan saya, ialah memantau tukang kebun supaya taman terurus dan senantiasa nyaman.

Bila tukang kebun gagal berbuat demikian, saya pula dipaksa menggantikan tempatnya. Akhirnya, saya pula yang dikerah untuk menyiram pokok-pokok kegemarannya iaitu pokok bunga kertas yang berduri. Sambil menyiram, tanahnya juga perlu digembur manja, jangan terlalu keras tapi sedang-sedang saja.

Pengetua saya yang cerewet itu boleh menelah kesan siraman hanya dengan melihat 'gerak tanah' pokok bunga kertas itu. Di usia 25 tahun pada ketika itu, saya hanya membiarkan saja diperlakukan seperti tukang kebun walapun itu bukan tugas saya.

Itu lah antara episod yang mengesankan hidup saya. Hari ini, saya sengaja biarkan pokok bunga kertas timbul liar di luar pagar rumah saya. Liarnya pokok bunga kertas itu membayangkan satu simbol kemerdekaan bagi diri saya, yang sudah tidak lagi dijajah oleh pengetua itu.

Sikap pengetua itu tidak mampu ditegur oleh sesiapa pun. Orang-orang terdekat pun membiarkan saja dia meracau kerana takut terkena tempias racauan.

Yang paling saya takuti apabila di akhir usia, saya akan menemui nasib ala-Pippa. Sayang sekali, walau sudah mencecah usia emas, Pippa masih terkapai-kapai mencari arah tuju hidup.

EPISOD 'SUP AYAM MERAH' DI PAGI RAYA

Selasa September 15, 2009

ENTAH kenapa saya amat tertarik dengan judul 'Bawang Putih Bawang Merah'
cerita klasik lama. Bila saja rakan sekerja, Zanariah Abd. Mutalib mengusulkan
tajuk itu untuk kolum ini, saya terus setuju.

Kenangan menjadi 'Bawang Merah' sewaktu kecil masih melekat dalam fikiran.
Lagipun, saya pernah berangan-angan jadi Bawang Merah waktu kecil-kecil dulu.
Setiap kali dimarahi ibu kerana selalu berangan, saya akan ke buaian depan rumah
dan menyanyi lagu 'Pohon Beringin' ala Bawang Merah sambil menangis.

Dalam otak kecil saya waktu itu, wajah bengis ibu persis Mak Kundor (watak Siti
Tanjung Perak). Arwah ibu, yang terkenal dengan sikap bengisnya, akan selalu memastikan apa saja kerja rumah yang yang dilakukan sempurna di matanya. Kalau tidak, siaplah...habis sudip, senduk dan apa saja barang-barang dapur akan terbang singgah di badan.

Kalau nasib kurang baik, objek-objek ini akan singgah tepat ke badan. Kalau nasib
baik, kena sipi saja.

Setelah dewasa, saya mempunyai pertimbangan sendiri tentang apa yang saya lalui.
Masa kecil dulu, saya anggap tindakan ibu sebagai zalim tapi bila sudah dewasa
dan mempunyai anak sendiri, saya menghargai didikan ibu yang keras seperti mak
tiri itu.

Kemungkinan didikan yang diterimanya dari seorang ibu tiri sejak dilahirkan
(kerana ibu kandungnya meninggal dalam pantang) menjadikan ibu saya seorang
yang tegas, garang dan 'perfectionist.' Namun dia tetap seorang yang penyayang. Di
mata saya, tiada tandingan kasih sayang yang dicurahkan.

Pengajaran masa kecil juga banyak membentuk peribadi saya menjadi tegas dan
cuba melakukan setiap kerja ke arah kesempurnaan.
Peristiwa yang paling tidak dapat lupakan setiap Hari Raya, insiden diketuk kepala
dengan senduk bila saya tersilap menuang sirap merah ke dalam sup ayam sedang
air sirap dengan aroma daun pandan dan gula batu masih mendidih di sebelah sup
ayam.

Waktu itu saya tengah berangan hendak mengirim lagu permintaan ke sebuah
rancangan radio. Selepas dimarahi dengan hebatnya, habis sudah kisah lagu
permintaan. Saya masih ingat lagi, arwah adik perempuan, Nona, memujuk dengan
menyanyikan lagu 'Pohon Beringin' dengan harapan saya akan tersenyum....

Ibu saya pula terus merajuk dan duduk di tembok hadapan rumah. Dan di pagi
Raya tahun itu, kami sekeluarga telah menikmati sup ayam berwarna merah sambil
teguran demi teguran dari ayah dan ibu datang bertubi-tubi. Sejak peristiwa itu,
saya tidak begitu gemar makan sup ayam.

Mujurlah marah ibu tidak lama. Di pagi Raya, dia tetap menyisir rambut saya yang
panjang dan didandan indah bersama riben untuk digayakan dengan baju kurung
yang dijahitnya. Sambil menyikat rambut, ibu tetap berleter tentang kecuaian saya.

Yang lebih memalukan, setiap tetamu yang berkunjung ke rumah pada hari itu
akan dikhabarkan tentang 'sup ayam merah'.
Harapan yang diletakkan di bahu saya sebagai anak sulung perempuan begitu tinggi
terutama hal-hal dapur. Di usia 8 tahun, saya sudah masak nasi, pandai goreng
telur dan membasuh baju menggunakan tangan. Dan di usia 12 tahun, sudah
belajar membuat 'sup ayam merah'...

Antara pesanan ibu yang masih saya ingat sampai sekarang selepas episod sup ayam
merah - 'Kalau buat kerja separuh hati, hasilnya begitulah'.
Sehingga kini, setiapkali filem 'Bawang Putih Bawang Merah' di kaca TV,
kenangan saya akan tetap ke buaian 'ajaib' di hadapan rumah saya. Banyak
kenangan pahit manis tersimpul di situ.

Walaupun cat buaian itu sudah lusuh dan besinya juga sudah karat, nostalgia
menyanyikan lagu 'Pohon Beringin' tidak pernah padam. Dan meskipun beratusan
kali nyanyikan lagu 'berhantu' itu, saya masih tidak dapat berkahwin dengan putera
raja.

Dan kini semakin menginjak ke usia emas, saya dapat rasakan aura Mak Kundor
kini meresap dalam badan saya. Yang paling tragis, bila ramai menyapa mesra saya
dengan panggilan 'mak tiri'!